42 Bagaimana mungkin kamu berkata kepada saudara kamu, ‘Maaf, saudara, biarlah saya keluarkan selumbar dari mata saudara,’ sedangkan kayu balak di dalam mata kamu sendiri tidak kamu lihat? Hai munafik! Keluarkanlah dahulu kayu balak dari mata kamu sendiri. Barulah kamu dapat melihat dengan jelas dan mengeluarkan selumbar dari mata saudara kamu.”
43 “Pokok yang subur tidak menghasilkan buah yang buruk. Demikian juga pokok yang tidak subur tidak akan menghasilkan buah yang baik.
44 Setiap pokok dikenal daripada buahnya. Kamu tidak memetik buah ara dari belukar berduri, ataupun buah anggur dari semak-semak.
45 Orang baik mengeluarkan perkara-perkara baik kerana hati mereka berlimpah-limpah dengan kebaikan. Tetapi orang jahat mengeluarkan perkara-perkara jahat, kerana hati mereka penuh kejahatan. Orang mengucapkan perkara yang terkandung di dalam hati.”
46 “Mengapa kamu memanggil Aku, ‘Tuhan, Tuhan,’ tetapi tidak menurut kata-kata-Ku?
47 Beginilah keadaan setiap orang yang datang kepada-Ku dan mendengar kata-kata-Ku serta melakukannya.
48 Dia seperti pembina rumah yang menggali lubang dalam-dalam lalu meletakkan asas rumah pada batu. Air sungai melimpah dan melanda rumah itu, tetapi tidak dapat menggoncangkannya, kerana asas rumah itu dibina dengan teguh.