28 Yesus berkata pula, “Hendaklah kamu tahu bahawa di dunia ini tidak ada orang yang lebih besar daripada Yohanes Pembaptis. Tetapi orang terkecil antara mereka yang menikmati Pemerintahan Allah, lebih besar daripada Yohanes.”
29 Orang ramai termasuk para pemungut cukai mendengar Yesus mengatakan hal itu. Merekalah yang mentaati perintah Allah dan mahu dibaptis oleh Yohanes.
30 Tetapi orang Farisi dan guru Taurat tidak mahu menerima apa yang dikehendaki oleh Allah bagi diri mereka, dan tidak mahu dibaptis oleh Yohanes.
31 Yesus berkata, “Dengan apakah dapat Aku bandingkan orang zaman ini? Seperti apakah mereka?
32 Mereka seperti anak-anak yang duduk di pasar. Kumpulan yang satu berseru kepada yang lain, ‘Kami memainkan lagu perkahwinan untuk kamu, tetapi kamu tidak mahu menari! Kami meratap, tetapi kamu tidak mahu menangis!’
33 Yohanes Pembaptis datang, dia berpuasa dan tidak minum wain; lalu kamu berkata, ‘Dia dirasuk syaitan!’
34 Anak Manusia datang, Dia makan dan minum, lalu kamu berkata, ‘Lihatlah orang ini! Dia rakus, pemabuk, sahabat pemungut cukai, dan kawan orang yang dihina masyarakat!’