17 Apa yang tersembunyi akan dinyatakan, dan apa yang dirahsiakan akan diketahui dan didedahkan.
18 Oleh itu perhatikanlah apa yang kamu dengar. Seseorang yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih banyak lagi, tetapi seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang disangka ada padanya akan diambil juga.”
19 Ibu dan saudara-saudara Yesus datang kepada Yesus, tetapi mereka tidak dapat menghampiri Dia kerana orang di situ terlalu banyak.
20 Lalu seorang berkata kepada Yesus, “Tuan, ibu dan saudara-saudara tuan di luar. Mereka hendak berjumpa dengan tuan.”
21 Tetapi Yesus berkata kepada mereka semua, “Orang yang mendengar firman Allah serta mentaatinya, merekalah ibu dan saudara-saudara-Ku.”
22 Pada suatu hari Yesus dengan pengikut-pengikut-Nya menaiki sebuah perahu. Dia berkata kepada mereka, “Marilah kita menyeberang tasik.” Mereka pun bertolak.
23 Sedang mereka belayar, Yesus tidur. Tiba-tiba angin kencang melanda tasik itu. Air mula masuk ke dalam perahu sehingga membahayakan mereka semua.