33 Begitulah roh-roh jahat itu keluar daripada orang itu lalu masuk ke dalam kawanan babi. Kemudian kawanan babi itu lari ke tepi jurang dan terjun ke dalam tasik lalu tenggelam.
34 Penjaga-penjaga babi itu nampak apa yang sudah berlaku. Mereka lari dari situ lalu menyebarkan berita itu di bandar dan di kampung-kampung sekitarnya.
35 Lalu orang ramai keluar hendak melihat apa yang sudah berlaku. Mereka datang kepada Yesus dan mendapati orang yang telah dibebaskan daripada roh jahat duduk dekat kaki Yesus. Orang itu sudah berpakaian dan waras fikirannya. Mereka semua ketakutan.
36 Semua orang yang telah melihat kejadian itu memberitahu orang ramai bagaimana orang itu disembuhkan.
37 Lalu penduduk daerah Gerasa memohon supaya Yesus meninggalkan tempat itu, kerana mereka semua sangat takut. Oleh itu Yesus menaiki perahu lalu pergi dari situ.
38 Orang yang telah dibebaskan daripada roh jahat memohon kepada Yesus supaya dibenarkan mengikut Yesus.Tetapi Yesus menyuruh dia pergi,
39 “Pulanglah ke rumah, dan ceritakan apa yang telah dilakukan oleh Allah untukmu.”Orang itu pergi ke seluruh pelosok bandar dan menceritakan apa yang telah dilakukan oleh Yesus untuknya.