41 Lalu datanglah seorang bernama Yairus. Dia ketua rumah ibadat tempatan. Dia sujud di hadapan Yesus dan memohon supaya Yesus datang ke rumahnya,
42 kerana anak perempuannya yang tunggal, yang berumur dua belas tahun, hampir meninggal.Sedang Yesus berjalan ke rumah Yairus, orang mengasak Dia dari semua sisi.
43 Di situ ada seorang wanita yang menderita penyakit pendarahan selama dua belas tahun. Dia telah menghabiskan segala miliknya untuk rawatan doktor, tetapi tiada seorang pun dapat menyembuhkan dia.
44 Wanita itu mendekati Yesus dari belakang, lalu menyentuh hujung jubah-Nya, dan dengan segera pendarahannya berhenti.
45 Yesus bertanya, “Siapa menyentuh Aku?”Tiada orang yang mahu mengaku. Petrus berkata, “Guru, orang di sini banyak sekali; mereka berasak-asakan!”
46 Tetapi Yesus berkata, “Ada orang yang menyentuh Aku. Aku tahu kerana kuasa telah keluar daripada-Ku.”
47 Wanita itu sedar bahawa perbuatannya sudah diketahui oleh Yesus. Dia datang dengan gementar lalu sujud pada kaki Yesus. Di hadapan semua orang, dia memberitahu Yesus mengapa dia menyentuh Yesus dan bagaimana penyakitnya sembuh dengan serta-merta.