8 Tetapi ada juga benih yang jatuh di tanah subur, lalu tumbuh dan menghasilkan buah seratus kali ganda.”Setelah Yesus menceritakan perumpamaan itu, Dia berkata, “Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik!”
9 Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya makna perumpamaan itu.
10 Yesus menjawab, “Kamu telah diberikan anugerah untuk mengetahui rahsia tentang bagaimana Allah memerintah. Tetapi yang lain diberitahukan hal itu melalui perumpamaan, supaya mereka melihat tetapi tidak nampak dan mereka mendengar tetapi tidak faham.”
11 “Inilah makna perumpamaan itu: Benih itu firman Allah.
12 Benih yang jatuh di jalan bagaikan orang yang mendengar perkhabaran Allah, tetapi Iblis datang dan mengambil perkhabaran itu dari hati mereka, supaya mereka tidak percaya ataupun diselamatkan.
13 Benih yang jatuh di tempat berbatu bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu dan menerimanya dengan sukacita. Tetapi perkhabaran itu tidak berakar di dalam hati. Mereka percaya sekejap sahaja dan ketika cubaan datang mereka tidak lagi percaya kepada perkhabaran itu.
14 Benih yang jatuh di tengah semak berduri bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu, tetapi kekhuatiran, kekayaan, dan kemewahan hidup membantutkan perkhabaran itu sehingga mereka tidak menghasilkan buah yang matang.