2 Raja-Raja 1 BM

Elia dan Raja Ahazia

1 Setelah Raja Ahab dari Israel mangkat, negeri Moab memberontak terhadap Israel.

2 Pada suatu hari, Raja Ahazia dari Israel jatuh dari langkan di tingkat atas istananya di Samaria sehingga baginda luka parah. Oleh itu baginda mengirim beberapa orang utusan untuk bertanya kepada Baal-Zebub, dewa orang Filistin di kota Ekron, sama ada baginda akan sembuh atau tidak.

3 Tetapi malaikat TUHAN menyuruh Elia, nabi dari Tisbe, berjumpa dengan para utusan Raja Ahazia dan bertanya kepada mereka, “Mengapa kamu pergi bertanya kepada Baal-Zebub, dewa kota Ekron itu? Tidakkah kamu tahu bahawa ada Allah di Israel?

4 Beritahulah raja bahawa demikianlah firman TUHAN, ‘Engkau tidak akan sembuh daripada luka-lukamu. Engkau akan mati!’ ”Setelah Elia menyampaikan firman TUHAN itu,

5 para utusan itu kembali kepada raja. Raja bertanya, “Mengapa kamu kembali?”

6 Para utusan itu menjawab, “Kami ditemui seorang lelaki yang menyuruh kami kembali dan memberitahu tuanku bahawa TUHAN berfirman demikian kepada tuanku, ‘Mengapakah engkau mengirim utusan untuk bertanya kepada Baal-Zebub, dewa kota Ekron itu? Tidakkah engkau tahu bahawa ada Allah di Israel? Engkau tidak akan sembuh daripada luka-lukamu. Engkau akan mati!’ ”

7 Raja bertanya, “Bagaimanakah rupa orang itu?”

8 Mereka menjawab, “Dia memakai jubah yang dibuat daripada kulit binatang, dan diikat dengan tali pinggang daripada kulit.”Raja berseru, “Orang itu Elia!”

9 Kemudian raja menyuruh seorang pegawai tenteranya bersama dengan lima puluh orang untuk mendapatkan Elia. Pegawai itu menemui Elia yang sedang duduk di atas bukit, lalu berkata kepadanya, “Hai hamba Allah, raja memerintah kamu turun.”

10 Elia menjawab, “Jika saya ini hamba Allah, biarlah api turun dari langit dan membunuh kamu serta anak buahmu!” Pada saat itu juga api turun dan membunuh pegawai itu serta anak buahnya.

11 Raja menyuruh seorang pegawai tentera lain bersama dengan lima puluh orang. Mereka pergi dan berkata kepada Elia, “Hai hamba Allah, raja memerintah kamu turun sekarang juga!”

12 Elia menjawab, “Jika saya ini hamba Allah, biarlah api turun dari langit dan membunuh kamu serta anak buahmu!” Pada saat itu juga Allah menurunkan api dan membunuh pegawai itu serta anak buahnya.

13 Sekali lagi raja menyuruh seorang pegawai tentera bersama dengan lima puluh orang. Pegawai itu naik ke atas bukit lalu bersujud di hadapan Elia sambil memohon, “Hai hamba Allah, kasihanilah saya dan anak buah saya. Tolong jangan bunuh kami!

14 Dua orang pegawai tentera yang lain dan anak buah mereka telah dibunuh oleh api dari langit, tetapi kasihanilah saya!”

15 Pada saat itu juga malaikat TUHAN berkata kepada Elia, “Turunlah bersama-sama dia, dan jangan takut.” Oleh itu Elia pergi bersama-sama pegawai itu, lalu menghadap raja.

16 Elia berkata kepada raja, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Oleh sebab engkau mengirim utusan untuk bertanya kepada Baal-Zebub, dewa kota Ekron - seolah-olah tidak ada Allah di Israel untuk ditanya - engkau tidak akan sembuh; engkau akan mati!’ ”

17 Kemudian Raja Ahazia mangkat sesuai dengan firman TUHAN yang disampaikan oleh Elia. Raja Ahazia tidak mempunyai anak lelaki, maka saudaranya Yoram menggantikan baginda sebagai raja. Hal ini berlaku pada tahun kedua pemerintahan Raja Yehoram putera Raja Yosafat di Yehuda.

18 Segala perbuatan Raja Ahazia tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25