1 Pada tahun kedua puluh tujuh pemerintahan Raja Yerobeam II di Israel, Raja Uzia putera Raja Amazia menjadi raja di Yehuda.
2 Pada masa itu Raja Uzia berusia enam belas tahun. Baginda memerintah di Yerusalem selama lima puluh dua tahun. Bondanya bernama Yekholya dari Yerusalem.
3 Baginda mengikut teladan ayahandanya. Baginda melakukan apa yang menyenangkan hati TUHAN.
4 Tetapi tempat-tempat penyembahan berhala tidak dimusnahkan, dan rakyat masih mempersembahkan korban serta membakar kemenyan di situ.
5 TUHAN menyebabkan Raja Uzia menghidap penyakit kulit yang mengerikan seumur hidupnya. Baginda tinggal seorang diri di rumah yang terasing dan dibebaskan daripada segala tugas. Yotam, puteranya memerintah rakyat sebagai wakil baginda.
6 Segala perbuatan Raja Uzia tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda.
7 Baginda mangkat lalu dimakamkan di permakaman diraja di Kota Daud. Kemudian Yotam, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.
8 Pada tahun ketiga puluh lapan pemerintahan Raja Uzia di Yehuda, Raja Zakharia putera Raja Yerobeam II menjadi raja di Israel. Raja Zakharia memerintah di Samaria selama enam bulan.
9 Raja Zakharia juga berdosa terhadap TUHAN, seperti raja-raja yang memerintah sebelum baginda. Baginda mengikut perbuatan jahat Raja Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.
10 Pada masa itu Salum anak Yabes berkomplot menentang Raja Zakharia. Salum membunuh Raja Zakharia di Yibleam dan menggantikan baginda sebagai raja.
11 Segala perbuatan Raja Zakharia tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.
12 Demikianlah berlakunya janji yang dibuat TUHAN kepada Raja Yehu: “Keturunanmu sampai ke generasi yang keempat akan menjadi raja di Israel.”
13 Pada tahun ketiga puluh sembilan pemerintahan Raja Uzia di Yehuda, Salum anak Yabes menjadi raja di Israel. Raja Salum memerintah di Samaria selama satu bulan.
14 Kemudian Menahem anak Gadi berangkat dari Tirza ke Samaria dan membunuh Raja Salum. Lalu Menahem menggantikan baginda sebagai raja.
15 Segala perbuatan Raja Salum, termasuk kisah komplotnya, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.
16 Dalam perjalanannya dari Tirza, Raja Menahem memusnahkan sama sekali kota Tapuah serta penduduknya, dan juga kawasan di sekelilingnya kerana kota itu tidak menyerah kepadanya. Raja Menahem membelah perut semua perempuan hamil di kota itu.
17 Pada tahun ketiga puluh sembilan pemerintahan Raja Uzia di Yehuda, Menahem anak Gadi menjadi raja di Israel. Raja Menahem memerintah di Samaria selama sepuluh tahun.
18 Raja Menahem berdosa terhadap TUHAN kerana mengikut perbuatan jahat Raja Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.
19 Ketika Raja Pul, raja Asyur menyerang Israel, Raja Menahem memberi Raja Pul 34,000 kilogram perak supaya baginda menolong mengukuhkan kekuasaan Raja Menahem di Israel.
20 Raja Menahem mendapatkan wang itu dengan memaksa setiap orang kaya di Israel supaya memberikan 50 keping wang perak. Selepas itu Raja Pul pulang ke negerinya sendiri.
21 Segala perbuatan Raja Menahem tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.
22 Raja Menahem mangkat lalu dimakamkan. Pekahya, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.
23 Pada tahun kelima puluh pemerintahan Raja Uzia di Yehuda, Raja Pekahya putera Raja Menahem menjadi raja Israel. Baginda memerintah di Samaria selama dua tahun.
24 Raja Pekahya berdosa terhadap TUHAN dan mengikut perbuatan Raja Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.
25 Pada masa itu seorang pegawai tentera Raja Pekahya yang bernama Pekah anak Remalya, berkomplot dengan lima puluh orang dari Gilead. Kemudian mereka membunuh Raja Pekahya di kubu sebelah dalam istana di Samaria, lalu Pekah menggantikan Raja Pekahya sebagai raja.
26 Segala perbuatan Raja Pekahya tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.
27 Pada tahun kelima puluh dua pemerintahan Raja Uzia di Yehuda, Pekah anak Remalya menjadi raja di Israel. Raja Pekah memerintah di Samaria selama dua puluh tahun.
28 Raja Pekah berdosa terhadap TUHAN, kerana mengikut perbuatan jahat Raja Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.
29 Pada masa pemerintahan Raja Pekah, Raja Pul, raja Asyur merebut kota Iyon, Abel-Bet Maakha, Yanoah, Kedes, Hazor, daerah Gilead, Galilea, dan Naftali. Baginda membawa penduduk kota-kota itu ke Asyur sebagai orang tawanan.
30 Pada tahun kedua puluh pemerintahan Raja Yotam putera Raja Uzia di Yehuda, Hosea anak Ela berkomplot untuk menentang Raja Pekah. Hosea membunuh Raja Pekah lalu menggantikan baginda sebagai raja.
31 Segala perbuatan Raja Pekah tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.
32 Pada tahun kedua pemerintahan Raja Pekah anak Remalya sebagai raja di Israel, Raja Yotam putera Raja Uzia menjadi raja di Yehuda.
33 Pada masa itu Raja Yotam berusia dua puluh lima tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama enam belas tahun. Bondanya ialah Yerusa anak Zadok.
34 Raja Yotam mengikut perbuatan Raja Uzia ayahandanya; Raja Yotam melakukan apa yang menyenangkan hati TUHAN,
35 tetapi tempat-tempat penyembahan berhala tidak dimusnahkan. Rakyat masih mempersembahkan korban dan membakar kemenyan di situ. Raja Yotam ialah pembina Pintu Gerbang Utara Rumah TUHAN.
36 Segala perbuatan Raja Yotam tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda.
37 Pada masa pemerintahan Raja Yotam, untuk pertama kali TUHAN menyuruh Raja Rezin dari Siria dan Raja Pekah dari Israel untuk menyerang Yehuda.
38 Kemudian Raja Yotam mangkat lalu dimakamkan di perkuburan diraja di Kota Daud. Ahas, putera Raja Yotam menggantikan baginda sebagai raja.