2 Raja-Raja 12 BM

Raja Yoas, Raja Yehuda

1 Pada tahun ketujuh pemerintahan Raja Yehu di Israel, Raja Yoas menjadi raja Yehuda. Raja Yoas memerintah di Yerusalem selama empat puluh tahun. Bondanya bernama Zibya, orang dari kota Bersyeba.

2 Seumur hidupnya Raja Yoas melakukan perkara-perkara yang diperkenankan TUHAN, kerana Imam Yoyada menasihati baginda.

3 Walaupun demikian, tempat penyembahan dewa tidak dimusnahkan, dan rakyat masih mempersembahkan korban serta membakar kemenyan di situ.

4 Raja Yoas memanggil para imam dan memerintah mereka mengumpulkan wang yang diterima sebagai persembahan di Rumah TUHAN, baik wang pembayaran penyelenggaraan korban, mahupun wang persembahan sukarela.

5 Tiap-tiap imam bertanggungjawab terhadap wang yang diterima daripada orang yang dilayaninya, dan wang itu akan digunakan untuk memperbaiki Rumah TUHAN.

6 Tetapi hingga tahun kedua puluh tiga pemerintahan Raja Yoas, imam-imam itu masih belum memperbaiki kerosakan-kerosakan di Rumah TUHAN.

7 Oleh itu Raja Yoas memanggil Yoyada dan imam-imam yang lain, lalu bertanya kepada mereka, “Mengapakah kamu tidak memperbaiki Rumah TUHAN? Mulai sekarang kamu tidak dibenarkan menyimpan wang yang kamu terima. Kamu harus menyerahkan semuanya untuk memperbaiki Rumah TUHAN.”

8 Imam-imam itu bersetuju untuk tidak mengumpulkan wang rakyat dan juga bersetuju untuk tidak bertanggungjawab terhadap perbaikan Rumah TUHAN.

9 Kemudian Yoyada mengambil sebuah peti dan membuat lubang pada penutupnya, lalu meletakkannya di sisi mazbah, di sebelah kanan pintu masuk Rumah TUHAN. Imam-imam yang bertugas di pintu itu memasukkan semua wang persembahan yang diterima daripada orang ramai ke dalam peti itu.

10 Setiap kali, apabila wang di dalam peti itu sudah banyak, setiausaha raja dan Imam Agung datang untuk mengira wang yang ada di situ, lalu memasukkannya ke dalam kantung.

11 Setelah mencatat jumlah wang dengan tepat, mereka menyerahkan wang itu kepada para pegawai yang mengawasi perbaikan Rumah TUHAN. Para pegawai itu pula membayar upah tukang kayu, jurubina,

12 tukang batu, dan pemahat batu. Mereka juga membeli kayu dan batu untuk memperbaiki Rumah TUHAN, serta membayar semua perbelanjaan lain.

13 Wang itu tidak digunakan untuk membayar pembuatan cawan perak, mangkuk, trompet, atau alat-alat pelita, atau perkakas lain yang dibuat daripada perak atau emas.

14 Semua wang itu digunakan untuk membayar upah tukang dan untuk membeli bahan-bahan yang diperlukan.

15 Pegawai-pegawai yang mengawasi pekerjaan itu sangat jujur. Oleh itu mereka tidak diminta membuat laporan kewangan.

16 Wang yang diterima bagi korban untuk membayar ganti rugi dan korban untuk mengampunkan dosa tidak dimasukkan ke dalam peti itu. Wang itu diberikan kepada para imam.

17 Pada masa itu Raja Hazael, raja Siria menyerang kota Gat dan mengalahkannya. Setelah itu baginda bercadang menyerang Yerusalem.

18 Raja Yoas, penguasa Yehuda, mengumpulkan semua persembahan yang telah ditahbiskan untuk TUHAN oleh raja-raja yang memerintah sebelumnya, iaitu Raja Yosafat, Raja Yehoram, dan Raja Ahazia. Raja Yoas menambahnya dengan persembahannya sendiri serta semua emas di dalam perbendaharaan Rumah TUHAN dan istana. Kemudian Raja Yoas mengirimkan semuanya kepada Raja Hazael. Oleh itu Raja Hazael membatalkan niatnya untuk menyerang Yerusalem.

19 Segala perbuatan Raja Yoas tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda.

20-21 Para pegawai Raja Yoas berkomplot melawan baginda. Dua orang daripada mereka, iaitu Yozakar anak Simeat dan Yozabad anak Somer, membunuh Raja Yoas di rumah yang dibina di atas timbunan tanah di sebelah timur Yerusalem, iaitu di jalan ke kota Sila. Raja Yoas dimakamkan di permakaman diraja di Kota Daud, lalu Amazia, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25