1 Setelah Raja Ahab dari Israel mangkat, negeri Moab memberontak terhadap Israel.
2 Pada suatu hari, Raja Ahazia dari Israel jatuh dari langkan di tingkat atas istananya di Samaria sehingga baginda luka parah. Oleh itu baginda mengirim beberapa orang utusan untuk bertanya kepada Baal-Zebub, dewa orang Filistin di kota Ekron, sama ada baginda akan sembuh atau tidak.
3 Tetapi malaikat TUHAN menyuruh Elia, nabi dari Tisbe, berjumpa dengan para utusan Raja Ahazia dan bertanya kepada mereka, “Mengapa kamu pergi bertanya kepada Baal-Zebub, dewa kota Ekron itu? Tidakkah kamu tahu bahawa ada Allah di Israel?
4 Beritahulah raja bahawa demikianlah firman TUHAN, ‘Engkau tidak akan sembuh daripada luka-lukamu. Engkau akan mati!’ ”Setelah Elia menyampaikan firman TUHAN itu,
5 para utusan itu kembali kepada raja. Raja bertanya, “Mengapa kamu kembali?”
6 Para utusan itu menjawab, “Kami ditemui seorang lelaki yang menyuruh kami kembali dan memberitahu tuanku bahawa TUHAN berfirman demikian kepada tuanku, ‘Mengapakah engkau mengirim utusan untuk bertanya kepada Baal-Zebub, dewa kota Ekron itu? Tidakkah engkau tahu bahawa ada Allah di Israel? Engkau tidak akan sembuh daripada luka-lukamu. Engkau akan mati!’ ”