2 Raja-Raja 10:11-17 BM

11 Selepas itu Raja Yehu membunuh pula semua sanak keluarga Raja Ahab yang tinggal di Yizreel serta semua pegawai, sahabat karib, dan imamnya; tidak seorang pun dibiarkan hidup.

12 Raja Yehu meninggalkan Yizreel lalu pergi ke Samaria. Di tengah jalan, di suatu tempat yang bernama “Perkhemahan Gembala”,

13 baginda berjumpa dengan beberapa orang kerabat Raja Ahazia, raja Yehuda. Baginda bertanya kepada mereka, “Siapakah kamu?”Mereka menjawab, “Kami kerabat Raja Ahazia. Kami sedang dalam perjalanan ke Yizreel untuk mengunjungi anak-anak Permaisuri Izebel, dan kerabat diraja yang lain.”

14 Raja Yehu memerintah anak buahnya, “Tangkaplah mereka!” Maka anak buahnya menangkap mereka, lalu Raja Yehu membunuh mereka dekat sebuah perigi. Semuanya ada kira-kira 42 orang, dan tidak seorang pun dibiarkan hidup.

15 Raja Yehu meneruskan lagi perjalanannya. Di tengah jalan, baginda ditemui Yonadab anak Rekhab. Sambil memberikan salam kepadanya, baginda bertitah, “Bukankah kita sehati? Mahukah engkau menyokong beta?”“Hamba mahu,” jawab Yonadab. Raja Yehu bertitah, “Jika demikian, mari berjabat tangan.” Mereka berjabat tangan, dan Raja Yehu menolong Yonadab naik ke atas kereta kudanya.

16 Raja Yehu bertitah, “Ikutlah beta dan lihatlah sendiri betapa giatnya beta mengabdi kepada TUHAN.” Maka mereka bersama-sama pergi ke Samaria.

17 Apabila mereka sampai di sana, Raja Yehu membunuh semua kerabat Raja Ahab; tidak seorang pun dibiarkan hidup. Hal itu berlaku sesuai dengan firman TUHAN kepada Elia.