1 Pada tahun kedua puluh tiga pemerintahan Raja Yoas putera Raja Ahazia di Yehuda, Raja Yehoahas putera Raja Yehu menjadi raja di Israel, dan baginda memerintah di Samaria selama tujuh belas tahun.
2 Seperti Raja Yerobeam yang memerintah sebelumnya, Raja Yehoahas juga berdosa terhadap TUHAN dan menyebabkan umat Israel berdosa. Baginda tidak pernah meninggalkan kejahatannya.
3 Oleh itu TUHAN murka terhadap Israel. TUHAN membiarkan Raja Hazael, raja Siria dan Raja Benhadad putera Raja Hazael, mengalahkan Israel berulang kali.
4 Selepas itu Raja Yehoahas berdoa kepada TUHAN, dan TUHAN tahu betapa kejamnya raja Siria menindas orang Israel. Kemudian TUHAN mengabulkan doa Raja Yehoahas.
5 TUHAN menghantar seorang pemimpin yang membebaskan Israel daripada penindasan orang Siria. Sejak itu Israel hidup dengan tenteram seperti sediakala.
6 Tetapi mereka masih belum bertaubat daripada dosa yang disebabkan oleh Raja Yerobeam. Mereka tidak berhenti berdosa, dan patung Dewi Asyera masih ada di Samaria.
7 Raja Yehoahas tidak lagi mempunyai angkatan perang kecuali lima puluh orang askar berkuda, sepuluh kereta kuda, dan sepuluh ribu orang askar berjalan kaki. Raja Siria telah memusnahkan angkatan perang Raja Yehoahas dan memijak-mijak mereka seperti debu.