13 Raja Yehoas mangkat dan dimakamkan di permakaman diraja di Samaria, dan Yerobeam II, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.
14 Pada suatu masa, Elisa, nabi itu sakit tenat. Ketika Elisa hampir meninggal, Raja Yehoas, raja Israel datang menziarahi dia. Sambil menangis Raja Yehoas berkata, “Bapaku, bapaku! Bapalah pembela Israel yang perkasa!”
15 Elisa berkata kepadanya, “Ambillah busur dan beberapa batang anak panah.” Raja Yehoas pun mengambilnya.
16 Elisa menyuruh Raja Yehoas bersiap untuk memanah, lalu baginda bersiap. Elisa meletakkan tangannya di atas tangan raja.
17 Kemudian, dengan perintah nabi itu, Raja Yehoas membuka tingkap yang menghadap negeri Siria. Elisa berkata, “Lepaskan anak panah!” Sebaik sahaja raja melepaskan anak panah, nabi itu berkata, “Tuanku ialah anak panah TUHAN. Dengan perantaraan tuanku, TUHAN akan mengalahkan negeri Siria. Tuanku akan berperang melawan orang Siria di Afek sehingga tuanku mengalahkan mereka.”
18 Selepas itu Elisa menyuruh raja mengambil anak panah yang lain dan memukul tanah dengan anak panah itu. Raja memukul tanah sampai tiga kali lalu berhenti.
19 Elisa marah dan berkata kepada raja, “Mengapa tuanku tidak memukul lima atau enam kali supaya tuanku dapat mengalahkan orang Siria sama sekali? Tetapi sekarang tuanku hanya dapat mengalahkan orang Siria tiga kali.”