18 Raja Menahem berdosa terhadap TUHAN kerana mengikut perbuatan jahat Raja Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.
19 Ketika Raja Pul, raja Asyur menyerang Israel, Raja Menahem memberi Raja Pul 34,000 kilogram perak supaya baginda menolong mengukuhkan kekuasaan Raja Menahem di Israel.
20 Raja Menahem mendapatkan wang itu dengan memaksa setiap orang kaya di Israel supaya memberikan 50 keping wang perak. Selepas itu Raja Pul pulang ke negerinya sendiri.
21 Segala perbuatan Raja Menahem tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.
22 Raja Menahem mangkat lalu dimakamkan. Pekahya, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.
23 Pada tahun kelima puluh pemerintahan Raja Uzia di Yehuda, Raja Pekahya putera Raja Menahem menjadi raja Israel. Baginda memerintah di Samaria selama dua tahun.
24 Raja Pekahya berdosa terhadap TUHAN dan mengikut perbuatan Raja Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.