10 Di semua bukit dan di bawah tiap-tiap pokok yang rendang, mereka mendirikan tiang-tiang batu dan patung-patung Dewi Asyera.
11 Mereka membakar kemenyan di atas semua mazbah untuk dewa, mengikut kebiasaan bangsa yang telah diusir oleh TUHAN dari negeri itu. Mereka membangkitkan kemurkaan TUHAN kerana segala perbuatan mereka yang jahat itu,
12 dan tidak taat kepada TUHAN yang melarang mereka menyembah berhala.
13 TUHAN telah mengutus beberapa orang utusan dan nabi-Nya untuk memberikan amaran kepada Israel dan Yehuda. Firman TUHAN, “Berhentilah berbuat jahat dan taatlah kepada perintah-Ku yang terkandung dalam Taurat yang Aku berikan kepada nenek moyang kamu dan juga kamu melalui para nabi, hamba-hamba-Ku.”
14 Tetapi mereka tidak mahu taat; mereka degil seperti nenek moyang mereka yang tidak percaya kepada TUHAN, Allah mereka.
15 Mereka tidak mahu taat kepada perintah-Nya. Mereka tidak mengendahkan perjanjian yang dibuat TUHAN dengan nenek moyang mereka. Mereka tidak menghiraukan amaran-amaran TUHAN. Mereka menyembah berhala-berhala yang tidak berguna, sehingga mereka sendiri menjadi tidak berguna. Mereka mengikut kebiasaan bangsa-bangsa di sekeliling mereka, walaupun TUHAN telah melarang perbuatan itu.
16 Mereka melanggar semua hukum TUHAN, Allah mereka, serta membuat dua patung lembu daripada logam untuk disembah. Mereka juga membuat patung Dewi Asyera, menyembah bintang-bintang, dan Baal.