2 Raja-Raja 17:13-19 BM

13 TUHAN telah mengutus beberapa orang utusan dan nabi-Nya untuk memberikan amaran kepada Israel dan Yehuda. Firman TUHAN, “Berhentilah berbuat jahat dan taatlah kepada perintah-Ku yang terkandung dalam Taurat yang Aku berikan kepada nenek moyang kamu dan juga kamu melalui para nabi, hamba-hamba-Ku.”

14 Tetapi mereka tidak mahu taat; mereka degil seperti nenek moyang mereka yang tidak percaya kepada TUHAN, Allah mereka.

15 Mereka tidak mahu taat kepada perintah-Nya. Mereka tidak mengendahkan perjanjian yang dibuat TUHAN dengan nenek moyang mereka. Mereka tidak menghiraukan amaran-amaran TUHAN. Mereka menyembah berhala-berhala yang tidak berguna, sehingga mereka sendiri menjadi tidak berguna. Mereka mengikut kebiasaan bangsa-bangsa di sekeliling mereka, walaupun TUHAN telah melarang perbuatan itu.

16 Mereka melanggar semua hukum TUHAN, Allah mereka, serta membuat dua patung lembu daripada logam untuk disembah. Mereka juga membuat patung Dewi Asyera, menyembah bintang-bintang, dan Baal.

17 Mereka mempersembahkan anak-anak mereka sebagai korban yang dibakar kepada dewa-dewa. Mereka minta petunjuk daripada dukun dan tukang tilik. Mereka sangat giat melakukan apa yang jahat di sisi TUHAN, lalu membangkitkan kemurkaan-Nya.

18 TUHAN murka terhadap umat Israel sehingga mereka dibuang dari tanah yang diberikan-Nya kepada mereka; hanya kerajaan Yehuda yang tinggal.

19 Namun orang Yehuda pun tidak taat kepada hukum TUHAN, Allah mereka. Mereka mengikut kebiasaan yang telah diikuti orang Israel.