20 TUHAN menolak segenap umat Israel. Dia menghukum dan menyerahkan mereka kepada musuh yang kejam, sehingga akhirnya Dia membuang mereka dari tanah yang diberikan-Nya kepada mereka.
21 Setelah TUHAN memisahkan Israel dari Yehuda, umat Israel melantik Yerobeam anak Nebat menjadi raja mereka. Raja Yerobeam menyebabkan mereka meninggalkan TUHAN dan melakukan dosa-dosa yang besar.
22 Mereka mengikut perbuatan Raja Yerobeam dan tidak berhenti melakukan semua dosa yang dilakukan oleh Raja Yerobeam.
23 Akhirnya TUHAN membuang mereka dari tanah yang diberikan-Nya kepada mereka. Hal itu berlaku sesuai dengan amaran yang diberikan TUHAN kepada hamba-hamba-Nya. Oleh itu orang Israel dibuang ke Asyur, tempat mereka tinggal sehingga sekarang.
24 Raja Asyur membawa orang dari kota Babel, Kuta, Awa, Hamat, dan Sefarwaim ke kota-kota di Samaria untuk menggantikan orang Israel yang telah dibuang negeri. Mereka menduduki kota-kota itu lalu tinggal di situ.
25 Apabila mereka mula-mula tiba di negeri itu, mereka tidak menyembah TUHAN. Oleh itu TUHAN mengirim singa untuk membunuh sebilangan daripada mereka.
26 Kemudian raja Asyur diberitahu bahawa orang yang disuruhnya tinggal di kota-kota Samaria itu tidak mengenal hukum dewa negeri itu, lalu dewa itu mengirim singa yang membunuh mereka.