12 Samaria jatuh kerana umat Israel tidak taat kepada TUHAN, Allah mereka. Mereka mengingkari perjanjian yang dibuat oleh TUHAN dengan mereka, dan mereka melanggar semua hukum yang diberikan oleh Musa, hamba TUHAN. Mereka tidak mahu mendengar ataupun taat.
13 Pada tahun keempat belas pemerintahan Raja Hizkia, Raja Sanherib dari Asyur, menyerang kota-kota yang berkubu di Yehuda serta mengalahkan semuanya.
14 Raja Hizkia mengirim berita kepada Raja Sanherib yang ketika itu berada di Lakhis. Raja Hizkia bertitah, “Beta telah bersalah. Hentikanlah serangan tuanku. Beta akan membayar apa sahaja yang tuanku tuntut.” Raja Sanherib menuntut 10,000 kilogram perak dan 1,000 kilogram emas daripada Raja Hizkia.
15 Raja Hizkia mengirim semua perak di Rumah TUHAN dan di perbendaharaan istana kepadanya.
16 Baginda juga melucutkan emas daripada pintu-pintu Rumah TUHAN dan emas yang digunakannya untuk meliputi tiang-tiang pintu itu. Lalu Raja Hizkia mengirim semuanya kepada Raja Sanherib.
17 Tetapi raja Asyur mengirim satu pasukan tentera yang besar dari Lakhis untuk menyerang Raja Hizkia di Yerusalem. Pasukan itu diketuai oleh tiga orang pegawai tinggi tentera, iaitu seorang panglima, seorang juru minuman, dan seorang ketua pengawal raja. Apabila mereka tiba di Yerusalem, mereka mengambil tempat di jalan, tempat pembuat kain bekerja, dekat saluran yang menyalurkan air dari kolam di sebelah atas.
18 Setelah itu mereka memanggil Raja Hizkia, tetapi tiga orang pegawai baginda datang menemui mereka, iaitu Elyakim anak Hilkia, pengurus istana; Sebna, setiausaha istana dan Yoah anak Asaf, setiausaha negara.