20 Adakah pada sangka raja bahawa kata-kata dapat menggantikan kecekapan dan kekuatan tentera? Siapakah yang raja harap untuk menolong raja memberontak terhadap Asyur?
21 Raja mengharapkan bantuan dari Mesir, tetapi hal itu seperti orang yang menggunakan gelagah sebagai tongkat. Tongkat itu akan patah dan menusuk tangan raja sendiri. Begitulah raja Mesir terhadap sesiapa yang berharap kepadanya.’ ”
22 Pegawai Asyur itu meneruskan lagi, “Atau mungkinkah kamu berkata bahawa kamu berharap kepada TUHAN, Allah kamu? Pada waktu Raja Hizkia memerintahkan orang Yehuda dan Yerusalem beribadat di mazbah di Yerusalem sahaja, yang dimusnahkannya itu mazbah dan tempat-tempat penyembahan kepada TUHAN sendiri.
23 Aku akan bertaruh dengan kamu demi nama raja Asyur. Aku akan memberi kamu dua ribu ekor kuda jika kamu mempunyai orang sebanyak itu untuk menunggangi semua kuda itu!
24 Kamu tidak dapat melawan kami bahkan pegawai Asyur yang paling rendah sekalipun, namun kamu mengharapkan orang Mesir menghantar kereta kuda dan pasukan berkuda kepada kamu.
25 Adakah kamu menyangka bahawa aku menyerang negeri kamu dan memusnahkannya tanpa pertolongan TUHAN? TUHAN sendiri menyuruh aku menyerang serta memusnahkannya.”
26 Kemudian Elyakim, Sebna, dan Yoah berkata kepada pegawai itu, “Tuan, bertuturlah kepada kami dalam bahasa Aram. Kami akan faham bahasa itu. Janganlah bertutur dalam bahasa Ibrani. Semua orang di atas tembok itu dapat memahaminya.”