22 Pegawai Asyur itu meneruskan lagi, “Atau mungkinkah kamu berkata bahawa kamu berharap kepada TUHAN, Allah kamu? Pada waktu Raja Hizkia memerintahkan orang Yehuda dan Yerusalem beribadat di mazbah di Yerusalem sahaja, yang dimusnahkannya itu mazbah dan tempat-tempat penyembahan kepada TUHAN sendiri.
23 Aku akan bertaruh dengan kamu demi nama raja Asyur. Aku akan memberi kamu dua ribu ekor kuda jika kamu mempunyai orang sebanyak itu untuk menunggangi semua kuda itu!
24 Kamu tidak dapat melawan kami bahkan pegawai Asyur yang paling rendah sekalipun, namun kamu mengharapkan orang Mesir menghantar kereta kuda dan pasukan berkuda kepada kamu.
25 Adakah kamu menyangka bahawa aku menyerang negeri kamu dan memusnahkannya tanpa pertolongan TUHAN? TUHAN sendiri menyuruh aku menyerang serta memusnahkannya.”
26 Kemudian Elyakim, Sebna, dan Yoah berkata kepada pegawai itu, “Tuan, bertuturlah kepada kami dalam bahasa Aram. Kami akan faham bahasa itu. Janganlah bertutur dalam bahasa Ibrani. Semua orang di atas tembok itu dapat memahaminya.”
27 Tetapi pegawai itu menjawab, “Adakah pada sangka kamu bahawa raja Asyur menyuruh aku menyampaikan semua hal ini kepada kamu dan raja kamu sahaja? Tidak. Aku juga menyampaikan semua hal ini kepada orang yang duduk di atas tembok itu, kerana mereka pun mesti makan najis dan minum air kencing sendiri seperti kamu.”
28 Kemudian pegawai itu berdiri dan berseru dalam bahasa Ibrani, “Dengarlah titah ucapan raja Asyur kepada kamu!