7 Oleh itu TUHAN menyertai baginda, dan baginda berjaya dalam segala usahanya. Baginda memberontak terhadap raja Asyur dan tidak mahu takluk kepadanya.
8 Raja Hizkia mengalahkan orang Filistin dan menjarah daerah mereka, dari kampung yang terkecil sampai ke kota yang terbesar, termasuk Gaza dan kawasan di sekitarnya.
9 Pada tahun keempat pemerintahan Raja Hizkia, iaitu pada tahun ketujuh pemerintahan Raja Hosea di Israel, Raja Salmaneser dari Asyur menyerang Israel dan mengepung kota Samaria.
10 Tiga tahun kemudian, kota Samaria dikalahkan. Hal itu berlaku pada tahun keenam pemerintahan Raja Hizkia, dan tahun kesembilan pemerintahan Raja Hosea.
11 Kemudian raja Asyur membawa umat Israel ke Asyur sebagai orang tawanan, lalu menempatkan sebilangan daripada mereka di kota Halah, sebilangan di tepi Sungai Habor di daerah Gozan, dan sebahagian lagi di kota-kota negeri Madai.
12 Samaria jatuh kerana umat Israel tidak taat kepada TUHAN, Allah mereka. Mereka mengingkari perjanjian yang dibuat oleh TUHAN dengan mereka, dan mereka melanggar semua hukum yang diberikan oleh Musa, hamba TUHAN. Mereka tidak mahu mendengar ataupun taat.
13 Pada tahun keempat belas pemerintahan Raja Hizkia, Raja Sanherib dari Asyur, menyerang kota-kota yang berkubu di Yehuda serta mengalahkan semuanya.