12 Nenek moyang beta memusnahkan kota Gozan, Haran, dan Rezef, serta membunuh orang Eden yang tinggal di Telasar. Tidak satu pun daripada dewa mereka dapat menyelamatkan mereka.
13 Di manakah raja-raja kota Hamat, Arpad, Sefarwaim, Hena, dan Iwa sekarang?”
14 Raja Hizkia mengambil surat itu daripada para utusan, lalu membacanya. Kemudian baginda pergi ke Rumah TUHAN dan membentangkan surat itu di hadirat TUHAN,
15 lalu berdoa, “Ya TUHAN, Allah Israel, Engkau yang bersemayam di atas kerub; Engkau satu-satunya Allah yang memerintah semua kerajaan di dunia. Engkau mencipta langit dan bumi.
16 Sekarang lihatlah hal yang berlaku kepada kami. Dengarlah segala hinaan yang diucapkan oleh Raja Sanherib terhadap-Mu, ya Allah yang hidup.
17 Kami semua tahu, ya TUHAN, bahawa raja Asyur telah memusnahkan banyak bangsa dan menghancurkan negeri mereka,
18 serta membakar dewa-dewa mereka. Tetapi dewa-dewa itu tidak berkuasa kerana semuanya hanya patung daripada kayu dan batu yang dibuat oleh manusia.