18 serta membakar dewa-dewa mereka. Tetapi dewa-dewa itu tidak berkuasa kerana semuanya hanya patung daripada kayu dan batu yang dibuat oleh manusia.
19 Oleh itu selamatkanlah kami daripada orang Asyur, ya TUHAN, Allah kami supaya semua bangsa di dunia tahu bahawa Engkau, TUHAN satu-satunya Allah.”
20 Kemudian Yesaya mengirim perkhabaran kepada Raja Hizkia bahawa TUHAN, Allah Israel telah mendengar doanya.
21 Demikianlah firman TUHAN, “Kota Yerusalem mentertawakan serta menghinakan engkau, hai Sanherib.
22 Pada sangkamu, siapakah yang engkau cela dan hina itu? Engkau telah bersikap sombong terhadap Aku, Allah Israel, Allah yang suci.
23 Engkau mengirim para utusanmu untuk membesar-besarkan dirimu di hadapan-Ku, bahawa dengan kereta kudamu engkau telah menaklukkan gunung-gunung tertinggi di Lebanon. Engkau bercakap besar bahawa di sana engkau telah menebang pokok sedar yang tertinggi dan pokok sipres yang terbaik, dan bahawa engkau telah menembusi hutan Lebanon yang paling lebat.
24 Engkau bercakap besar bahawa engkau telah menggali perigi dan meminum air di negeri-negeri asing, dan bahawa tenteramu memijak-mijak Sungai Nil sehingga kering.