26 Penduduk di situ tidak berdaya; mereka ketakutan dan bingung. Mereka seperti rumput di padang atau rumpai yang tumbuh di atas bumbung rumah, yang layu apabila ditiup oleh angin timur yang panas.
27 Tetapi Aku tahu akan segala halmu; segala perbuatanmu dan ke mana sahaja engkau pergi. Aku tahu bahawa engkau marah sekali terhadap Aku.
28 Aku telah mendengar tentang kemarahanmu dan kesombonganmu. Sekarang Aku akan menaruh kait pada hidungmu, dan kekang pada mulutmu. Aku akan menarik engkau pulang melalui jalan yang engkau ikuti ketika datang.”
29 Kemudian Yesaya mengirim perkhabaran ini kepada Raja Hizkia, “Perkara ini akan menjadi satu tanda bagi tuanku: Pada tahun ini dan tahun yang akan datang, tuanku akan makan gandum yang tumbuh sendiri. Tetapi pada tahun yang berikutnya, tanamlah gandum dan anggur, dan nikmatilah hasilnya.
30 Penduduk Yehuda yang terselamat akan makmur seperti tumbuhan yang berakar umbi dan berbuah.
31 Baik di Yerusalem mahupun di Bukit Sion akan ada orang yang terselamat, kerana TUHAN telah tentukan bahawa perkara ini akan berlaku.
32 Inilah firman TUHAN tentang raja Asyur, ‘Dia tidak akan masuk ke Yerusalem, atau melepaskan anak panah ke arahnya. Askar-askar yang berperisai tidak akan mendekati kota ini. Mereka tidak akan membuat timbunan tanah untuk mengepungnya.