1 Kira-kira pada masa itu Raja Hizkia gering dan hampir mangkat. Nabi Yesaya anak Amos menemui raja lalu berkata kepada baginda, “Menurut firman TUHAN, hendaklah tuanku selesaikan segala urusan tuanku, kerana tuanku tidak akan sembuh. Tuanku akan mangkat.”
2 Raja Hizkia memalingkan mukanya ke tembok lalu berdoa,
3 “Ingatlah, ya TUHAN, bahawa aku telah mengabdi kepada-Mu dengan taat dan setia, dan bahawa aku sentiasa berusaha untuk melakukan kehendak-Mu.” Lalu raja menangis dengan pilu.
4 Yesaya meninggalkan raja, tetapi sebelum Yesaya keluar melalui halaman tengah istana itu, TUHAN menyuruh dia
5 kembali kepada Raja Hizkia, raja umat TUHAN. Yesaya menyampaikan firman ini kepadanya, “Demikianlah firman TUHAN, Allah nenek moyang tuanku Daud, ‘Aku telah mendengarkan doamu. Aku nampak air matamu. Aku akan menyembuhkan engkau dan dalam tiga hari engkau akan pergi ke Rumah TUHAN.