11 Yesaya berdoa kepada TUHAN, lalu TUHAN membuat bayangan itu undur sepuluh garis pada penunjuk jam matahari yang dibina oleh Raja Ahas.
12 Kira-kira pada masa itu, Raja Merodakh-Baladan anak Baladan, raja Babilonia, mendengar bahawa Raja Hizkia gering. Oleh itu raja Babilonia mengirim sepucuk surat dan sebuah hadiah kepada Raja Hizkia.
13 Raja Hizkia menyambut kedatangan para utusan itu dan menunjukkan segala kekayaannya kepada mereka - perak dan emasnya, rempah-rempah dan minyak wangi, serta segala perlengkapan tenteranya. Tiada satu pun di gudang atau di seluruh kerajaan baginda yang tidak ditunjukkan kepada mereka.
14 Kemudian Nabi Yesaya menghadap Raja Hizkia dan bertanya, “Dari manakah semua orang ini, dan apa kata mereka?”Raja Hizkia menjawab, “Mereka datang dari Babilonia, negeri yang sangat jauh.”
15 “Apakah yang dilihat mereka di istana?”“Mereka melihat segala-galanya. Tiada satu pun di gudang yang tidak beta tunjukkan kepada mereka,” jawab Raja Hizkia.
16 Lalu Yesaya berkata kepada raja, “Menurut firman TUHAN,
17 masanya akan tiba apabila segala sesuatu yang ada di istana tuanku, segala yang telah dikumpulkan nenek moyang tuanku hingga hari ini, akan dibawa ke Babilonia. Tiada satu pun yang tinggal.