4 Yesaya meninggalkan raja, tetapi sebelum Yesaya keluar melalui halaman tengah istana itu, TUHAN menyuruh dia
5 kembali kepada Raja Hizkia, raja umat TUHAN. Yesaya menyampaikan firman ini kepadanya, “Demikianlah firman TUHAN, Allah nenek moyang tuanku Daud, ‘Aku telah mendengarkan doamu. Aku nampak air matamu. Aku akan menyembuhkan engkau dan dalam tiga hari engkau akan pergi ke Rumah TUHAN.
6 Aku akan menambah usiamu selama lima belas tahun. Aku akan menyelamatkan engkau dan kota Yerusalem ini daripada raja Asyur. Aku akan membela kota ini demi kehormatan-Ku sendiri dan juga kerana janji-Ku kepada hamba-Ku Daud.’ ”
7 Selepas itu Yesaya menyuruh orang melumatkan buah ara dan mengoleskannya pada bisul raja supaya baginda sembuh.
8 Raja Hizkia bertanya, “Apakah tandanya bahawa TUHAN akan menyembuhkan beta dan tiga hari kemudian beta dapat pergi ke Rumah TUHAN?”
9 Yesaya menjawab, “TUHAN akan memberikan satu tanda kepada tuanku untuk membuktikan bahawa Dia akan menepati janji-Nya. Manakah yang tuanku lebih sukai: bayangan pada penunjuk jam matahari maju sepuluh garis atau undur sepuluh garis?”
10 Raja Hizkia menjawab, “Lebih mudah untuk membuat bayangan maju sepuluh garis. Buatlah supaya bayangan undur sepuluh garis!”