2 Raja-Raja 23:2-8 BM

2 lalu mereka bersama-sama pergi ke Rumah TUHAN. Mereka disertai oleh para imam, nabi-nabi, dan segenap rakyat, baik yang kaya mahupun yang miskin. Di hadapan mereka semua, raja membacakan seluruh kandungan kitab perjanjian yang telah ditemui di dalam Rumah TUHAN.

3 Baginda berdiri di sisi tiang yang khas untuk raja, lalu membuat perjanjian dengan TUHAN, untuk taat kepada-Nya, dan menurut hukum serta perintah-Nya dengan segenap hati dan jiwanya, serta memenuhi segala syarat perjanjian yang tercatat di dalam kitab itu. Segenap penduduk negeri itu berjanji untuk berpegang kepada perjanjian itu.

4 Selepas itu Raja Yosia memerintah Imam Agung Hilkia, para imam penolong, dan para pengawal yang bertugas di pintu Rumah TUHAN supaya mengeluarkan semua benda yang digunakan untuk penyembahan Baal, Dewi Asyera, dan bintang-bintang. Raja Yosia membakar semua benda itu di luar kota, dekat Lembah Kidron, lalu abunya dibawa ke Betel.

5 Raja Yosia memecat semua imam yang dilantik oleh raja-raja Yehuda untuk mempersembahkan korban di mazbah-mazbah dewa di kota-kota Yehuda, dan di tempat-tempat di sekitar Yerusalem. Semua imam itu telah mempersembahkan korban kepada Baal, matahari, bulan, planet, dan bintang-bintang.

6 Raja Yosia mengeluarkan lambang Dewi Asyera dari Rumah TUHAN, lalu membawanya ke luar kota, ke Lembah Kidron untuk dibakar. Kemudian arangnya ditumbuk sehingga menjadi abu, lalu dihamburkan di perkuburan awam.

7 Raja Yosia merobohkan tempat tinggal pelacur-pelacur kuil di dalam Rumah TUHAN. (Di situlah kaum wanita menenun kain jubah yang dipakai dalam pemujaan Dewi Asyera.)

8 Raja Yosia membawa semua imam dari kota-kota di Yehuda ke Yerusalem, lalu di seluruh negeri itu baginda menajiskan mazbah-mazbah tempat imam-imam itu mempersembahkan korban. Baginda juga merobohkan mazbah-mazbah yang terletak dekat pintu gerbang yang dibina oleh Yosua, gabenor kota itu. Pintu gerbang itu terletak di sebelah kiri pintu gerbang utama di jalan masuk ke kota.