2 Raja-Raja 23:7-13 BM

7 Raja Yosia merobohkan tempat tinggal pelacur-pelacur kuil di dalam Rumah TUHAN. (Di situlah kaum wanita menenun kain jubah yang dipakai dalam pemujaan Dewi Asyera.)

8 Raja Yosia membawa semua imam dari kota-kota di Yehuda ke Yerusalem, lalu di seluruh negeri itu baginda menajiskan mazbah-mazbah tempat imam-imam itu mempersembahkan korban. Baginda juga merobohkan mazbah-mazbah yang terletak dekat pintu gerbang yang dibina oleh Yosua, gabenor kota itu. Pintu gerbang itu terletak di sebelah kiri pintu gerbang utama di jalan masuk ke kota.

9 Imam-imam itu tidak dibenarkan menyelenggarakan ibadat di Rumah TUHAN, tetapi mereka dibenarkan memakan roti yang tidak beragi, yang disediakan untuk imam, rakan-rakan mereka.

10 Raja Yosia juga mencemarkan Tofet, tempat pemujaan dewa di Lembah Hinom, supaya tiada sesiapa pun dapat mempersembahkan anaknya sebagai korban yang dibakar kepada Dewa Molokh.

11 Raja Yosia juga menyingkirkan semua kuda yang dikhaskan oleh raja-raja Yehuda untuk penyembahan matahari. Baginda membakar semua kereta kuda yang digunakan untuk penyembahan matahari. (Benda-benda itu disimpan di halaman Rumah TUHAN, dekat pintu gerbang, tidak jauh dari tempat tinggal Natan Melekh, seorang pegawai tinggi.)

12 Baginda merobohkan mazbah-mazbah yang dibina oleh raja-raja Yehuda di bumbung istana, di atas bilik-bilik Raja Ahas. Raja Yosia juga merobohkan mazbah-mazbah yang dibina oleh Raja Manasye di dua halaman Rumah TUHAN. Raja Yosia menghancurkan mazbah-mazbah itu lalu membuangnya ke dalam Lembah Kidron.

13 Raja Yosia juga mencemarkan mazbah-mazbah yang dibina oleh Raja Salomo di sebelah timur Yerusalem, di sebelah selatan Bukit Zaitun bagi pemujaan dewa-dewa yang menjijikkan, iaitu Asytoret, dewa orang Sidon; Kamos, dewa orang Moab; dan Milkom, dewa orang Amon.