1 Raja Zedekia memberontak terhadap Raja Nebukadnezar dari Babilonia. Oleh itu Raja Nebukadnezar menyerang Yerusalem dengan segenap tentera baginda pada hari kesepuluh, bulan kesepuluh, tahun kesembilan pemerintahan Raja Zedekia. Mereka berkhemah di luar Yerusalem dan membina tembok untuk mengepung kota itu.
2 Mereka terus mengepungnya sehingga tahun kesebelas pemerintahan Raja Zedekia.
3 Pada hari kesembilan, bulan keempat tahun itu, apabila kelaparan di kota itu begitu dahsyat sehingga penduduk Yerusalem tidak mempunyai makanan lagi,
4 tembok kota ditembusi musuh. Walaupun kota itu dikepung orang Babilonia, semua tentera Yehuda berjaya keluar dari kota itu. Mereka melarikan diri pada malam hari dan mengambil jalan melalui taman istana dan pintu gerbang di antara dua tembok itu. Mereka lari menuju Lembah Yordan.
5 Tetapi tentera Babilonia mengejar Raja Zedekia dan menangkap baginda di dataran dekat Yerikho. Pada masa itu segenap tentera Raja Zedekia meninggalkan baginda.
6 Raja Zedekia dibawa kepada Raja Nebukadnezar, yang ketika itu berada di Ribla. Di sana Raja Nebukadnezar menjatuhkan hukuman kepada Raja Zedekia.
7 Putera-putera Zedekia dibunuh di depan mata baginda. Selepas itu mata baginda dicungkil. Kemudian Raja Zedekia dirantai lalu dibawa ke Babel.