16 lalu dia berkata, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Galilah beberapa parit di dasar anak sungai yang kering ini.
17 Walaupun tidak ada hujan atau angin, dasar sungai kecil ini akan penuh dengan air. Lalu engkau serta ternakan dan binatang pengangkut barang-barangmu akan mendapat cukup air minum.’ ”
18 Elisa meneruskan lagi, “Perkara ini mudah bagi TUHAN. Dia juga akan memberi tuanku kemenangan terhadap orang Moab.
19 Tuanku akan mengalahkan semua kota mereka yang berkubu dan yang indah. Tuanku akan menebang semua pokok buah-buahan mereka, menutup semua mata air dan semua ladang mereka yang subur akan dilempari batu sampai rosak sama sekali.”
20 Esok paginya, pada masa korban pagi biasa dipersembahkan, air mengalir dari arah Edom lalu memenuhi dasar sungai yang kering itu.
21 Apabila orang Moab mendengar bahawa tiga orang raja itu telah tiba untuk menyerang mereka, semua kaum lelaki yang sanggup berperang, daripada yang paling tua sampai kepada yang paling muda, dipanggil dan ditempatkan di sempadan negeri.
22 Apabila mereka bangun esok paginya, matahari menyinari permukaan air sehingga kelihatan merah seperti darah.