20 Esok paginya, pada masa korban pagi biasa dipersembahkan, air mengalir dari arah Edom lalu memenuhi dasar sungai yang kering itu.
21 Apabila orang Moab mendengar bahawa tiga orang raja itu telah tiba untuk menyerang mereka, semua kaum lelaki yang sanggup berperang, daripada yang paling tua sampai kepada yang paling muda, dipanggil dan ditempatkan di sempadan negeri.
22 Apabila mereka bangun esok paginya, matahari menyinari permukaan air sehingga kelihatan merah seperti darah.
23 “Lihatlah, darah!” seru mereka. “Ketiga-tiga pasukan tentera musuh kita tentu telah berlawan dan membunuh satu sama lain! Marilah kita pergi menjarah perkhemahan mereka!”
24 Tetapi apabila orang Moab sampai di tempat perkhemahan, tentera Israel menyerang dan mengalahkan mereka. Orang Israel terus mengejar sambil membunuh orang Moab
25 serta memusnahkan kota-kota mereka. Apabila mereka melalui ladang yang subur, tiap-tiap orang Israel melontarkan batu ke situ, sehingga semua ladang itu diliputi batu. Mereka juga menutup semua mata air di situ dan menebang semua pokok buah-buahan. Akhirnya hanya ibu kota Kir-Hareset yang tertinggal. Kota itu juga dikepung dan dilontari batu dengan humban.
26 Apabila raja Moab sedar bahawa baginda telah kalah, baginda membawa 700 orang askar yang berpedang bersama dengan baginda, lalu cuba menembusi pertahanan raja Edom, tetapi gagal.