28 Perempuan itu berkata kepada Elisa, “Tuan, saya tidak memohon seorang anak daripada tuan! Tidakkah saya berkata kepada tuan supaya jangan bangkitkan harapan saya?”
29 Elisa berpaling kepada Gehazi dan berkata, “Cepat! Bawalah tongkatku dan pergilah. Janganlah berhenti memberikan salam kepada sesiapa pun. Jika ada orang yang memberikan salam kepadamu, tidak usahlah membalasnya. Pergilah langsung ke rumahnya dan letakkanlah tongkatku pada tubuh budak itu.”
30 Perempuan itu berkata kepada Elisa, “Saya bersumpah demi kesetiaan saya kepada TUHAN yang hidup dan kepada tuan, bahawa saya tidak akan meninggalkan tuan!” Oleh itu mereka berdua pulang bersama-sama.
31 Gehazi berjalan dahulu. Dia meletakkan tongkat Elisa pada tubuh budak itu, tetapi tidak terdengar apa-apa dan tidak ada tanda-tanda bahawa budak itu hidup. Dia kembali menemui Elisa dan berkata, “Budak itu tidak bangun.”
32 Apabila Elisa tiba, dia masuk seorang diri ke dalam bilik itu. Dia nampak jenazah budak itu terbaring di atas tempat tidur.
33 Elisa menutup pintu lalu berdoa kepada TUHAN.
34 Dia meniarap pada tubuh budak itu dan merapatkan mulutnya, matanya, dan tangannya pada mulut, mata, dan tangan budak itu. Sementara Elisa berbuat demikian, badan budak itu mulai hangat.