5 Kemudian balu itu pulang dan masuk ke dalam rumah bersama dengan anak-anaknya, lalu menutup pintu. Dia mengambil minyak zaitun di dalam bejana kecil itu dan menuangnya ke dalam bejana-bejana yang lain sebaik sahaja anak-anaknya membawa bejana itu kepadanya.
6 Apabila mereka telah memenuhkan semua bejana itu, dia bertanya, “Masih ada lagi?” Salah seorang anaknya menjawab, “Tiada lagi.” Ketika itu juga minyak itu berhenti mengalir.
7 Kemudian balu itu balik kepada Nabi Elisa. Lalu Elisa berkata kepadanya, “Juallah minyak zaitun itu dan bayarlah semua hutang puan, dan wang selebihnya untuk nafkah hidup sehari-hari bagi puan dan anak-anak puan.”
8 Pada suatu hari Elisa pergi ke kota Sunem. Di sana ada seorang perempuan kaya. Perempuan itu menjemput Elisa makan di rumahnya. Sejak itu tiap-tiap kali Elisa pergi ke Sunem, dia makan di rumah perempuan kaya itu.
9 Perempuan itu berkata kepada suaminya, “Aku yakin bahawa orang yang selalu datang ke mari itu sungguh-sungguh hamba Allah.
10 Marilah kita bina sebuah bilik kecil di atas bumbung rumah, dan melengkapinya dengan sebuah tempat tidur, sebuah meja, sebuah kerusi dan sebuah pelita supaya dia dapat menginap di situ manakala dia datang ke mari.”
11 Pada suatu hari, Elisa pergi ke Sunem lalu masuk ke biliknya untuk berehat.