1 Naaman ialah panglima tentera negeri Siria. Dia sangat dihormati dan dihargai oleh raja Siria, kerana melalui Naaman, TUHAN telah memberikan kemenangan kepada angkatan perang Siria. Naaman seorang panglima yang perkasa, tetapi dia menghidap penyakit kulit yang sangat mengerikan.
2 Pada suatu masa, orang Siria menyerang negeri Israel. Dalam serangan itu seorang budak perempuan Israel ditangkap, lalu dibawa pergi sebagai orang tawanan. Kemudian budak perempuan itu menjadi hamba kepada isteri Naaman.
3 Pada suatu hari budak itu berkata kepada isteri Naaman, “Alangkah baiknya jika tuan saya dapat pergi kepada nabi yang tinggal di Samaria! Dia dapat menyembuhkan penyakit tuan saya.”
4 Apabila Naaman mendengar hal itu, dia menghadap raja dan memberitahukan apa yang dikatakan budak perempuan itu.
5 Raja Siria bertitah, “Pergilah kepada raja Israel, dan bawalah surat ini kepadanya.”Kemudian Naaman berangkat sambil membawa 30,000 keping perak, 6,000 keping emas dan sepuluh pasang pakaian yang baik.
6 Surat yang dibawanya itu berbunyi demikian, “Pembawa surat ini ialah Naaman, panglima beta. Tolong sembuhkan penyakitnya.”