2 Raja-Raja 5:11-17 BM

11 Tetapi Naaman marah ketika mendengar kata-kata itu lalu meninggalkan tempat itu. Katanya, “Sangkaku sekurang-kurangnya dia akan keluar menemui aku, berdoa kepada TUHAN, Allahnya, lalu menggerak-gerakkan tangannya di atas bahagian tubuhku yang sakit, serta menyembuhkan aku.

12 Selain itu, bukankah Sungai Abana dan Sungai Parpar di Damsyik lebih baik daripada sungai mana pun di Israel? Aku pun boleh mandi di sungai-sungai itu dan menjadi sembuh!”

13 Tetapi hamba-hamba Naaman berkata kepadanya, “Tuan, jika nabi itu menyuruh tuan melakukan perkara yang susah, tentu tuan akan melakukannya. Sebaiknya tuan mandi seperti yang disuruhnya supaya sembuh.”

14 Oleh itu Naaman turun ke Sungai Yordan dan membenamkan dirinya tujuh kali seperti yang disuruh oleh Nabi Elisa. Setelah itu penyakitnya sembuh sama sekali. Tubuhnya menjadi sihat semula seperti tubuh seorang kanak-kanak.

15 Naaman bersama dengan semua pengiringnya kembali kepada Elisa. Naaman berkata, “Sekarang saya tahu bahawa hanya ada satu Allah di seluruh dunia, iaitu Allah Israel. Sudilah tuan menerima persembahan saya ini.”

16 Tetapi Elisa berkata, “Demi TUHAN yang hidup yang saya abdikan diri, saya bersumpah bahawa saya tidak akan menerima hadiah apa-apa pun.”Naaman mendesak Elisa supaya menerimanya, tetapi Elisa tetap menolak.

17 Oleh itu Naaman berkata, “Jika tuan enggan menerima persembahan saya, berikanlah saya tanah sebanyak yang dapat dibawa oleh sepasang baghal, supaya saya boleh membawa tanah itu pulang. Mulai sekarang saya tidak lagi akan mempersembahkan korban-korban atau korban yang dibakar kepada tuhan-tuhan lain, kecuali kepada TUHAN sahaja.