2 Raja-Raja 5:16-22 BM

16 Tetapi Elisa berkata, “Demi TUHAN yang hidup yang saya abdikan diri, saya bersumpah bahawa saya tidak akan menerima hadiah apa-apa pun.”Naaman mendesak Elisa supaya menerimanya, tetapi Elisa tetap menolak.

17 Oleh itu Naaman berkata, “Jika tuan enggan menerima persembahan saya, berikanlah saya tanah sebanyak yang dapat dibawa oleh sepasang baghal, supaya saya boleh membawa tanah itu pulang. Mulai sekarang saya tidak lagi akan mempersembahkan korban-korban atau korban yang dibakar kepada tuhan-tuhan lain, kecuali kepada TUHAN sahaja.

18 Saya berharap agar TUHAN mengampuni saya manakala saya mengiringi raja pergi bersembahyang di kuil Rimon, dewa negeri Siria. Semoga TUHAN mengampuni saya!”

19 Elisa berkata, “Pergilah dengan sejahtera.” Lalu Naaman meninggalkan tempat itu.Tidak lama selepas Naaman berangkat,

20 Gehazi, hamba Elisa berkata dalam hati, “Mengapa Elisa membenarkan Naaman pergi tanpa membayar sedikit pun? Seharusnya dia menerima pemberian orang Siria itu. Demi TUHAN yang hidup, aku akan mengejar orang Siria itu dan mendapatkan sesuatu daripadanya.”

21 Oleh itu Gehazi mengejar Naaman. Apabila Naaman nampak seorang mengejar dia, dia turun dari kereta kudanya dan bertanya, “Ada apa?”

22 Gehazi menjawab, “Tidak ada, tetapi saya disuruh mengatakan kepada tuan bahawa baru saja dua orang nabi daripada kumpulan nabi datang dari daerah perbukitan Efraim. Tuan saya minta supaya tuan memberikan tiga ribu keping wang perak dan dua pasang pakaian baik untuk kedua-dua orang nabi itu.”