21 Oleh itu Gehazi mengejar Naaman. Apabila Naaman nampak seorang mengejar dia, dia turun dari kereta kudanya dan bertanya, “Ada apa?”
22 Gehazi menjawab, “Tidak ada, tetapi saya disuruh mengatakan kepada tuan bahawa baru saja dua orang nabi daripada kumpulan nabi datang dari daerah perbukitan Efraim. Tuan saya minta supaya tuan memberikan tiga ribu keping wang perak dan dua pasang pakaian baik untuk kedua-dua orang nabi itu.”
23 “Tentu saja!” kata Naaman, dan dia mendesak Gehazi supaya menerima 6,000 keping wang perak. Naaman membungkus wang itu dalam dua buah kantung, lalu mengambil dua pasang pakaian baik itu. Semuanya diberikan oleh Naaman kepada dua orang hambanya, yang disuruhnya berjalan mendahului Gehazi.
24 Apabila mereka sampai di bukit tempat tinggal Elisa, Gehazi mengambil dua buah kantung itu lalu membawanya ke dalam rumah. Setelah itu dia menyuruh hamba-hamba Naaman pulang.
25 Ketika Gehazi masuk ke dalam rumah, Elisa bertanya kepadanya, “Ke mana engkau pergi?”“Tidak ke mana-mana,” jawab Gehazi.
26 Tetapi Elisa berkata, “Bukankah rohku di sana ketika orang itu turun dari kereta kudanya untuk menemui engkau? Sekarang bukanlah masanya untuk menerima wang dan pakaian, kebun zaitun dan ladang anggur, lembu dan domba, atau hamba-hamba!
27 Oleh sebab engkau menerima pemberian itu, engkau dan keturunanmu akan mendapat penyakit Naaman selama-lamanya!”Apabila Gehazi meninggalkan tempat itu, dia menghidap penyakit kulit; kulitnya menjadi putih sekali.