4 Apabila Naaman mendengar hal itu, dia menghadap raja dan memberitahukan apa yang dikatakan budak perempuan itu.
5 Raja Siria bertitah, “Pergilah kepada raja Israel, dan bawalah surat ini kepadanya.”Kemudian Naaman berangkat sambil membawa 30,000 keping perak, 6,000 keping emas dan sepuluh pasang pakaian yang baik.
6 Surat yang dibawanya itu berbunyi demikian, “Pembawa surat ini ialah Naaman, panglima beta. Tolong sembuhkan penyakitnya.”
7 Apabila raja Israel membaca surat itu, baginda mengoyakkan pakaiannya kerana dukacita. Titahnya, “Mana boleh raja Siria meminta beta menyembuhkan orang ini? Adakah baginda berpendapat bahawa beta ini Allah yang mempunyai kuasa untuk menghidupkan dan mematikan orang? Tentu baginda mencari-cari sebab untuk bertengkar dengan beta!”
8 Apabila Nabi Elisa mendengar apa yang telah berlaku, dia mengirim berita kepada raja. Katanya, “Mengapakah tuanku risau? Suruhlah orang itu datang kepada hamba. Hamba akan menunjukkan kepadanya bahawa ada seorang nabi di Israel!”
9 Oleh itu Naaman berangkat dengan kereta kuda dan semua kudanya, lalu berhenti di pintu rumah Elisa.
10 Elisa menyuruh seorang hamba keluar untuk memberitahu Naaman supaya mandi tujuh kali di Sungai Yordan, maka penyakitnya akan sembuh.