7 Apabila raja Israel membaca surat itu, baginda mengoyakkan pakaiannya kerana dukacita. Titahnya, “Mana boleh raja Siria meminta beta menyembuhkan orang ini? Adakah baginda berpendapat bahawa beta ini Allah yang mempunyai kuasa untuk menghidupkan dan mematikan orang? Tentu baginda mencari-cari sebab untuk bertengkar dengan beta!”
8 Apabila Nabi Elisa mendengar apa yang telah berlaku, dia mengirim berita kepada raja. Katanya, “Mengapakah tuanku risau? Suruhlah orang itu datang kepada hamba. Hamba akan menunjukkan kepadanya bahawa ada seorang nabi di Israel!”
9 Oleh itu Naaman berangkat dengan kereta kuda dan semua kudanya, lalu berhenti di pintu rumah Elisa.
10 Elisa menyuruh seorang hamba keluar untuk memberitahu Naaman supaya mandi tujuh kali di Sungai Yordan, maka penyakitnya akan sembuh.
11 Tetapi Naaman marah ketika mendengar kata-kata itu lalu meninggalkan tempat itu. Katanya, “Sangkaku sekurang-kurangnya dia akan keluar menemui aku, berdoa kepada TUHAN, Allahnya, lalu menggerak-gerakkan tangannya di atas bahagian tubuhku yang sakit, serta menyembuhkan aku.
12 Selain itu, bukankah Sungai Abana dan Sungai Parpar di Damsyik lebih baik daripada sungai mana pun di Israel? Aku pun boleh mandi di sungai-sungai itu dan menjadi sembuh!”
13 Tetapi hamba-hamba Naaman berkata kepadanya, “Tuan, jika nabi itu menyuruh tuan melakukan perkara yang susah, tentu tuan akan melakukannya. Sebaiknya tuan mandi seperti yang disuruhnya supaya sembuh.”