19 Elisa datang kepada mereka dan berkata, “Kamu sesat jalan! Ini bukan kota yang kamu cari. Ikutlah saya. Saya akan membawa kamu kepada orang yang kamu cari itu.” Lalu dia memimpin mereka ke Samaria.
20 Setelah mereka masuk ke kota itu, Elisa berdoa, “Celikkanlah mata mereka, ya TUHAN. Biarlah mereka melihat.” TUHAN mengabulkan doanya lalu mencelikkan mata semua orang itu. Mereka pun sedar bahawa mereka berada di kota Samaria.
21 Apabila raja Israel nampak tentera Siria, baginda bertanya kepada Elisa, “Tuan, haruskah beta membunuh mereka?”
22 “Tidak,” jawab Elisa. “Bahkan askar-askar yang telah tuanku tawan dalam pertempuran pun tidak tuanku bunuh. Berilah mereka makanan dan minuman, dan biarlah mereka pulang kepada raja mereka.”
23 Oleh itu raja Israel menyediakan jamuan besar bagi mereka. Setelah mereka makan dan minum, raja menyuruh mereka pulang kepada raja Siria. Sejak itu orang Siria tidak lagi menyerang negeri Israel.
24 Tidak berapa lama kemudian, Raja Benhadad dari negeri Siria memimpin seluruh tenteranya melawan Israel dan mengepung kota Samaria.
25 Akibatnya, kelaparan yang dahsyat terjadi di kota itu sehingga satu kepala keldai berharga 80 keping wang perak dan 200 gram tahi burung merpati berharga 5 keping wang perak.