5 Semasa seorang daripada mereka menebang sebatang pokok, tiba-tiba mata kapaknya jatuh ke dalam air. Orang itu berseru kepada Elisa, “Apakah yang harus saya lakukan? Kapak itu saya pinjam daripada orang lain!”
6 Elisa bertanya, “Di manakah mata kapak itu jatuh?”Orang itu menunjukkan tempatnya. Elisa memotong sebatang kayu lalu melemparkannya ke tempat itu. Tiba-tiba mata kapak daripada besi itu timbul di permukaan air.
7 “Ambillah,” kata Elisa. Orang itu menghulurkan tangannya lalu mengambil mata kapak itu.
8 Pada suatu ketika, raja negeri Siria sedang berperang melawan Israel. Setelah berunding dengan para panglima baginda, raja Siria memilih satu tempat, lalu mendirikan perkhemahan baginda di situ.
9 Tetapi Elisa menyuruh orang memberitahukan hal itu kepada raja Israel, serta memberikan amaran supaya mereka tidak mendekati tempat itu, kerana orang Siria sedang mengadang di situ.
10 Raja Israel memberikan amaran kepada orang yang tinggal di situ supaya mereka berwaspada. Begitulah beberapa kali Elisa memperingatkan raja.
11 Raja negeri Siria menjadi sangat gusar kerana hal itu. Baginda memanggil para panglima lalu bertanya kepada mereka, “Siapakah antara kamu yang berpihak kepada raja Israel?”