2 Tetapi ajutan raja berkata kepada Elisa, “Mustahil! Walaupun TUHAN sendiri menurunkan hujan pada saat ini juga, hal itu mustahil!”“Kamu akan menyaksikannya,” jawab Elisa, “tetapi kamu tidak akan makan makanan itu.”
3 Empat orang yang menghidap penyakit kulit yang mengerikan sedang berada di luar pintu kota Samaria. Mereka berkata kepada satu sama lain, “Apa gunanya kita menunggu ajal di sini?
4 Tidak ada faedahnya kita masuk ke dalam kota, kerana kita akan mati kelaparan di sana. Jika kita tinggal di sini, kita juga akan mati. Marilah kita pergi ke perkhemahan orang Siria; paling-paling mereka akan membunuh kita, tetapi siapa tahu mungkin mereka tidak akan mengapa-apakan kita.”
5 Oleh itu apabila hari mulai senja, mereka pergi ke perkhemahan orang Siria. Tetapi apabila mereka sampai di tempat itu, tiada seorang pun di sana.
6 Tuhan telah menyebabkan tentera Siria mendengar bunyi seolah-olah satu pasukan tentera besar yang datang menyerang mereka dengan kuda dan kereta kuda. Tentera Siria menyangka bahawa raja Israel telah mengupah raja orang Het dan raja orang Mesir dengan seluruh tentera mereka untuk menyerang tentera Siria.
7 Oleh yang demikian, pada petang itu tentera Siria lari menyelamatkan diri serta meninggalkan khemah, kuda, dan keldai mereka dengan begitu sahaja di perkhemahan.
8 Apabila empat orang itu sampai di pinggir perkhemahan, mereka masuk ke dalam salah satu khemah. Mereka makan dan minum apa yang ada di situ. Mereka mengambil perak, emas, dan pakaian yang dijumpai. Mereka menyembunyikan barang-barang itu, lalu masuk ke khemah yang lain pula; mereka melakukan hal yang sama.