15 Tetapi esok harinya, Hazael mengambil sehelai selimut, mencelupkannya ke dalam air, lalu menekankan selimut itu pada muka raja sehingga baginda mangkat.Selepas itu Hazael menggantikan Raja Benhadad sebagai raja negeri Siria.
16 Pada tahun kelima pemerintahan Raja Yoram putera Raja Ahab di Israel, Yehoram putera Raja Yosafat menjadi raja Yehuda.
17 Pada masa itu Raja Yehoram berusia tiga puluh dua tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama lapan tahun.
18 Isteri baginda ialah puteri Raja Ahab, dan seperti keluarga Raja Ahab, Raja Yehoram mengikut perbuatan jahat raja-raja Israel. Baginda berdosa terhadap TUHAN,
19 tetapi TUHAN tidak mahu memusnahkan Yehuda, kerana Dia telah berjanji kepada hamba-Nya, Raja Daud bahawa keturunan Raja Daud akan memerintah selama-lamanya.
20 Pada masa pemerintahan Raja Yehoram, Edom memberontak terhadap Yehuda lalu menjadi satu negara yang merdeka.
21 Oleh itu Raja Yehoram berangkat dengan semua kereta kudanya ke Zair. Di sana mereka dikepung oleh tentera Edom, tetapi pada malam harinya Raja Yehoram dan para panglima pasukan kereta kuda baginda berjaya melarikan diri. Askar-askar baginda tercerai-cerai dan masing-masing pulang ke rumah.