2 Raja-Raja 9:18-24 BM

18 Askar itu menghampiri Raja Yehu dan berkata kepadanya, “Raja Yoram hendak tahu sama ada tuan datang sebagai sahabat.”“Itu bukan urusanmu!” jawab Raja Yehu. “Ikutlah di belakang beta.”Pengawal yang di menara itu melaporkan bahawa askar itu telah sampai kepada kumpulan orang itu, tetapi dia tidak kembali.

19 Seorang askar lain disuruh pergi, dan dia menanyakan hal yang sama kepada Raja Yehu. Sekali lagi Raja Yehu menjawab, “Itu bukan urusanmu! Ikutlah di belakang beta.”

20 Sekali lagi pengawal itu melaporkan bahawa askar itu telah sampai kepada kumpulan orang itu, tetapi dia tidak kembali. Katanya lagi, “Pemimpin rombongan itu memandu kereta kudanya seperti orang gila, seolah-olah dia itu Yehu!”

21 Raja Yoram bertitah, “Siapkanlah kereta kuda beta.” Setelah kereta kudanya siap, baginda dan Raja Ahazia berangkat dengan kereta kuda masing-masing untuk menemui Raja Yehu. Mereka bertemu dengan Raja Yehu di ladang bekas milik Nabot.

22 Raja Yoram bertanya kepada Raja Yehu, “Adakah kamu datang sebagai sahabat?”Raja Yehu bertitah, “Mana mungkin sebagai sahabat selama di sini masih berlaku di sini ilmu sihir dan penyembahan berhala yang dimulakan oleh Izebel, bonda raja itu?”

23 “Pengkhianatan!” seru Raja Yoram kepada Raja Ahazia, sambil membelokkan kereta kudanya lalu melarikan diri dari situ.

24 Tetapi Raja Yehu mengambil busurnya, dan dengan sekuat tenaga baginda memanah Raja Yoram dari belakang. Anak panah itu menusuk jantung Raja Yoram, lalu baginda jatuh dan mangkat di dalam kereta kudanya.