26 ‘Semalam Aku nampak pembunuhan Nabot dan anak-anaknya. Sekarang Aku berjanji bahawa Aku akan menghukum engkau di sini, di tanah ini juga.’ Oleh itu ambillah jenazah Raja Yoram, dan buangkan ke tanah bekas milik Nabot, supaya terlaksana hukuman Allah kepadanya.”
27 Raja Ahazia nampak apa yang telah berlaku. Oleh itu baginda melarikan diri dengan kereta kudanya ke arah kota Bet-Hagan. Raja Yehu mengejar Raja Ahazia. “Bunuhlah raja itu juga!” perintah Raja Yehu kepada anak buahnya. Mereka memanah Raja Ahazia sedang baginda melarikan diri dengan kereta kudanya dalam perjalanan ke Gur, dekat kota Yibleam. Tetapi Raja Ahazia berjaya lari sampai ke Megido lalu mangkat di sana.
28 Pegawai-pegawai Raja Ahazia membawa jenazahnya kembali ke Yerusalem dengan sebuah kereta kuda lalu memakamkannya di perkuburan diraja di Kota Daud.
29 Raja Ahazia menjadi raja Yehuda pada tahun kesebelas pemerintahan Raja Yoram putera Raja Ahab di Israel.
30 Kemudian Raja Yehu tiba di Yizreel. Apabila Izebel mendengar apa yang telah berlaku, dia mencelaki kelopak matanya, menghias rambutnya, lalu melihat ke bawah dari jendela istana.
31 Apabila Raja Yehu lalu di pintu gerbang, Izebel berteriak, “Hai Zimri, pembunuh! Mengapa engkau ke mari?”
32 Raja Yehu melihat ke atas lalu bertitah, “Adakah sesiapa yang memihak beta?” Ada dua atau tiga orang pegawai istana melihat ke bawah dari sebuah jendela.