28 Pegawai-pegawai Raja Ahazia membawa jenazahnya kembali ke Yerusalem dengan sebuah kereta kuda lalu memakamkannya di perkuburan diraja di Kota Daud.
29 Raja Ahazia menjadi raja Yehuda pada tahun kesebelas pemerintahan Raja Yoram putera Raja Ahab di Israel.
30 Kemudian Raja Yehu tiba di Yizreel. Apabila Izebel mendengar apa yang telah berlaku, dia mencelaki kelopak matanya, menghias rambutnya, lalu melihat ke bawah dari jendela istana.
31 Apabila Raja Yehu lalu di pintu gerbang, Izebel berteriak, “Hai Zimri, pembunuh! Mengapa engkau ke mari?”
32 Raja Yehu melihat ke atas lalu bertitah, “Adakah sesiapa yang memihak beta?” Ada dua atau tiga orang pegawai istana melihat ke bawah dari sebuah jendela.
33 Lalu Raja Yehu bertitah kepada mereka, “Lemparlah perempuan itu ke bawah!” Mereka pun melemparkan Izebel ke bawah sehingga darahnya terpercik ke tembok dan kepada beberapa ekor kuda di situ. Raja Yehu menggelek jenazah Izebel dengan kuda dan kereta kudanya,
34 lalu masuk ke istana dan makan. Setelah itu Raja Yehu bertitah, “Perempuan itu jahanam. Meskipun begitu, kebumikanlah jenazahnya kerana dia puteri raja.”