31 Apabila Raja Yehu lalu di pintu gerbang, Izebel berteriak, “Hai Zimri, pembunuh! Mengapa engkau ke mari?”
32 Raja Yehu melihat ke atas lalu bertitah, “Adakah sesiapa yang memihak beta?” Ada dua atau tiga orang pegawai istana melihat ke bawah dari sebuah jendela.
33 Lalu Raja Yehu bertitah kepada mereka, “Lemparlah perempuan itu ke bawah!” Mereka pun melemparkan Izebel ke bawah sehingga darahnya terpercik ke tembok dan kepada beberapa ekor kuda di situ. Raja Yehu menggelek jenazah Izebel dengan kuda dan kereta kudanya,
34 lalu masuk ke istana dan makan. Setelah itu Raja Yehu bertitah, “Perempuan itu jahanam. Meskipun begitu, kebumikanlah jenazahnya kerana dia puteri raja.”
35 Tetapi orang yang hendak mengebumikan jenazah Izebel itu tidak menemukan apa-apa lagi kecuali tengkorak dan tulang-tulang tangan serta kakinya.
36 Apabila mereka melaporkan hal itu kepada Raja Yehu, Raja Yehu bertitah, “Hal ini berlaku seperti yang telah difirmankan TUHAN melalui hamba-Nya Elia, ‘Anjing akan makan jenazah Izebel di kawasan Yizreel.
37 Sisa-sisa jenazahnya akan bertaburan seperti najis binatang, sehingga tidak dapat dikenali lagi.’ ”