5 Raja Rehabeam bertitah, “Berilah beta tiga hari untuk mempertimbangkan hal itu. Selepas itu, datanglah lagi.” Oleh itu mereka pun pergi.
6 Raja Rehabeam meminta nasihat daripada para orang tua yang telah berkhidmat kepada ayahandanya sebagai penasihat. “Bagaimanakah beta harus menjawab semua orang itu,” tanya Raja Rehabeam. “Apakah nasihat kamu?”
7 Mereka menjawab, “Jika tuanku hendak berbakti kepada rakyat dan menyenangkan hati mereka, kabulkanlah permintaan mereka. Mereka juga akan berbakti dengan setia kepada tuanku.”
8 Tetapi Raja Rehabeam tidak mempedulikan nasihat para orang tua itu. Sebaliknya baginda bertanya kepada orang muda yang sebaya dengan baginda, dan yang kini menjadi penasihatnya.
9 Raja bertitah, “Apakah nasihat kamu? Apakah yang harus beta katakan kepada semua orang itu, yang meminta beta meringankan beban mereka?”
10 Mereka menjawab, “Katakanlah kepada mereka, ‘Jari kelengkeng beta lebih besar daripada pinggang ayahanda beta!’
11 Katakan kepada mereka, ‘Ayahanda beta memberi kamu beban yang berat, tetapi beta akan memberi kamu beban yang lebih berat. Ayahanda beta menyebat kamu dengan cambuk, tetapi beta akan menyebat kamu dengan cambuk yang berduri besi!’ ”