2 Tawarikh 18 BM

Nabi Mikha Memberikan Amaran kepada Raja Ahab

1 Apabila Raja Yosafat dari Yehuda menjadi kaya dan termasyhur, baginda mengahwinkan seorang kerabatnya dengan seorang kerabat Raja Ahab di Israel.

2 Beberapa tahun kemudian, Raja Yosafat pergi melawat Raja Ahab di kota Samaria. Raja Ahab mengadakan jamuan dan menyuruh orang menyembelih banyak lembu dan domba untuk menghormati Raja Yosafat dan rombongannya. Raja Ahab cuba memujuk Raja Yosafat supaya mengikut baginda menyerang kota Ramot di Gilead.

3 Raja Ahab bertanya, “Mahukah tuanku menyertai beta untuk menyerang Ramot?”Raja Yosafat menjawab, “Beta bersedia menyertai tuanku. Demikian juga tentera beta. Kami akan berperang bersama-sama tuanku.”

4 Raja Yosafat bertitah lagi, “Tetapi marilah kita bertanya kepada TUHAN dahulu.”

5 Oleh itu Raja Ahab memanggil nabi-nabi, yang berjumlah kira-kira empat ratus orang. Baginda bertanya kepada mereka, “Bolehkah beta menyerang Ramot atau tidak?”“Seranglah,” jawab mereka. “Allah akan memberikan kemenangan kepada tuanku.”

6 Tetapi Raja Yosafat bertanya lagi, “Tiadakah nabi lain yang dapat menanyakan hal ini kepada TUHAN?”

7 Raja Ahab menjawab, “Ada seorang lagi, Mikha anak Yimla. Tetapi beta membenci dia, kerana dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta; dia selalu bernubuat tentang perkara yang buruk.”Raja Yosafat menjawab, “Tuanku tidak seharusnya berkata demikian.”

8 Oleh itu Raja Ahab memanggil seorang pegawai istana dan menyuruh dia cepat-cepat menjemput Mikha.

9 Kedua-dua orang raja itu, dengan berpakaian kebesaran, bersemayam di atas takhta, di tempat mengirik gandum, di luar pintu gerbang Samaria. Semua nabi sedang bernubuat di hadapan mereka berdua.

10 Zedekia anak Kenaana, salah seorang nabi itu, membuat beberapa buah tanduk besi lalu berkata kepada Raja Ahab, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Dengan tanduk-tanduk besi ini engkau akan melawan orang Siria sehingga mereka kalah sama sekali.’ ”

11 Semua nabi yang lain juga berkata demikian. Mereka berkata, “Majulah menyerang Ramot. Tuanku pasti menang. TUHAN akan memberi tuanku kemenangan.”

12 Sementara itu, pegawai yang pergi menjemput Mikha berkata kepadanya, “Semua nabi yang lain telah bernubuat bahawa raja akan menang. Sebaiknya engkau pun bernubuat demikian.”

13 Tetapi Mikha menjawab, “Demi TUHAN yang hidup, saya berjanji bahawa saya hanya akan mengatakan apa yang difirmankan Allah saya!”

14 Apabila Mikha menghadap Raja Ahab, raja bertanya kepadanya, “Mikha, bolehkah Raja Yosafat dan beta menyerang Ramot atau tidak?”“Seranglah!” jawab Mikha. “Tentu tuanku akan menang. TUHAN akan memberikan kemenangan kepada tuanku.”

15 Tetapi Raja Ahab bertitah, “Jika engkau berkata-kata kepada beta atas nama TUHAN, katakanlah yang benar. Berapa kali harus beta peringatkan engkau tentang hal ini?”

16 Mikha menjawab, “Hamba nampak tentera Israel tercerai-cerai di bukit-bukit seperti kawanan domba yang tidak mempunyai gembala. TUHAN berfirman, ‘Semua orang ini tidak mempunyai pemimpin; biarlah mereka pulang dengan selamat.’ ”

17 Raja Ahab bertitah kepada Raja Yosafat, “Beta telah memberitahu tuanku bahawa dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta; dia selalu bernubuat tentang perkara yang buruk!”

18 Mikha berkata lagi, “Dengarlah firman TUHAN! Hamba nampak TUHAN bersemayam di takhta-Nya di syurga, dan semua malaikat-Nya berdiri di sekeliling-Nya.

19 TUHAN bertanya, ‘Siapakah yang akan memperdaya Ahab supaya dia pergi ke Ramot lalu terbunuh di sana?’ Jawapan malaikat-malaikat itu berbeza-beza.

20 Kemudian satu roh tampil dan menghadap TUHAN. Roh itu berkata, ‘Aku akan memperdaya Ahab.’ Lalu TUHAN bertanya, ‘Bagaimana?’

21 Roh itu menjawab, ‘Aku akan menyebabkan semua nabi Ahab berdusta.’ TUHAN berfirman, ‘Pergilah perdayakan dia. Engkau akan berjaya.’ ”

22 Mikha berkata lagi, “Inilah yang telah berlaku. TUHAN telah menyebabkan nabi-nabi tuanku berdusta kepada tuanku. Tetapi TUHAN sendiri telah menentukan bahawa tuanku akan ditimpa malapetaka.”

23 Nabi Zedekia menghampiri Mikha, menampar pipinya, lalu bertanya, “Sejak bilakah Roh TUHAN meninggalkan aku dan berfirman kepadamu?”

24 Mikha menjawab, “Engkau akan mengetahui hal ini apabila engkau bersembunyi di salah sebuah bilik belakang.”

25 Kemudian Raja Ahab bertitah kepada salah seorang pegawainya, “Tangkaplah Mikha dan bawalah dia kepada gabenor kota, iaitu Amon, dan Putera Yoas.

26 Suruh mereka masukkan dia ke dalam penjara, dan beri dia roti dan air sahaja sehingga beta kembali dengan selamat.”

27 Mikha berkata, “Jika tuanku kembali dengan selamat, nyatalah bahawa TUHAN tidak berfirman melalui hamba!” Mikha berkata lagi, “Dengarlah hai semua orang, akan apa yang telah saya katakan ini!”

Kemangkatan Raja Ahab

28 Kemudian Raja Ahab dari Israel dan Raja Yosafat dari Yehuda pergi menyerang kota Ramot di Gilead.

29 Raja Ahab bertitah kepada Raja Yosafat, “Apabila kita bertempur, beta akan menyamar, tetapi tuanku akan memakai pakaian raja.” Oleh itu raja Israel menyamar ketika pergi bertempur.

30 Raja negeri Siria telah memerintah panglima pasukan kereta kudanya supaya tidak menyerang sesiapa pun kecuali raja Israel.

31 Apabila mereka nampak Raja Yosafat, mereka menyangka bahawa baginda raja Israel. Oleh itu mereka berpaling dan menyerang baginda. Tetapi apabila Raja Yosafat berteriak, TUHAN Allah menolong baginda dan mengalihkan serangan itu ke arah lain.

32 Panglima pasukan kereta kuda itu sedar bahawa raja itu bukan raja Israel, lalu mereka berhenti menyerang baginda.

33 Kebetulan salah seorang askar negeri Siria melepaskan anak panah yang mengenai Raja Ahab pada sambungan baju zirahnya. “Beta luka!” seru Raja Ahab kepada pemandu kereta kudanya. “Pusingkan kereta kuda dan keluarlah dari pertempuran ini!”

34 Sementara pertempuran itu berkobar, Raja Ahab menopang diri di atas kereta kudanya yang berhadapan dengan tentera Siria. Pada waktu matahari terbenam, Raja Ahab mangkat.